Sarawak Lindungi 41 Acara Ikonik Melalui Pendaftaran Harta Intelek
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha memelihara identiti budaya dan aset kreatif negeri apabila sebanyak 41 acara ikonik tempatan kini berjaya memperoleh perlindungan hak cipta menerusi pendaftaran harta intelek (IP).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, IP memainkan peranan penting dalam melindungi hasil kreatif negeri termasuk ekspresi budaya tradisional serta acara ikonik Sarawak yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
“Melalui kerjasama dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA) serta pihak berkepentingan yang berkaitan, kementerian telah berjaya mendapatkan perlindungan hak cipta bagi 41 acara ikonik serta dua cap dagangan setakat ini,” jelas beliau ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Beliau menambah, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan warisan budaya negeri bukan sahaja terus dipelihara, malah mampu diperkasakan sebagai aset ekonomi kreatif yang bernilai tinggi dan berdaya saing.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan kementerian akan terus menggalakkan lebih banyak pendaftaran harta intelek termasuk Petunjuk Geografi (GI) bagi produk warisan tempatan yang mempunyai identiti dan nilai budaya tersendiri.
“Kita akan terus menggalakkan pendaftaran IP secara lebih meluas, termasuk Petunjuk Geografi (GI) bagi produk berasaskan warisan seperti Baju Kuas Balau, Buriek Kapit dan Baju Gagong Bintulu bagi memastikan keaslian produk tersebut terus terpelihara serta membolehkan komuniti tempatan menikmati manfaat daripada aset budaya mereka,” katanya lagi.
Tambah beliau, pendekatan tersebut penting bagi memastikan warisan budaya Sarawak terus dilindungi daripada peniruan selain membuka peluang kepada komuniti tempatan untuk menjana nilai ekonomi melalui pengiktirafan produk warisan di peringkat lebih luas.-EDISI UKAS