KUCHING: Program Sarawak-Malaysia My Second Home (SMM2H) dianggarkan menjana impak ekonomi keseluruhan sebanyak RM5.6 bilion kepada Sarawak sepanjang tempoh 2007 hingga 2025.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara sektor yang menerima manfaat ialah hartanah, pendidikan, penjagaan kesihatan, pelancongan, makanan dan minuman, pengangkutan, insurans, sewaan dan hiburan.
"Program ini membolehkan kita meletakkan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk kediaman jangka panjang dengan menawarkan kualiti hidup yang tinggi, kepelbagaian budaya serta persekitaran yang mesra," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Tambahnya, program ini turut menyumbang secara signifikan kepada hasil Sarawak dengan menjana RM605,000 melalui yuran pemprosesan selain penempatan deposit tetap berjumlah RM60.5 juta.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, dari tahun 2020 hingga April 2026, sebanyak 2,191 permohonan telah diluluskan dengan tahun ini telah mencatatkan 121 permohonan melibatkan 217 peserta telah diluluskan setakat April ini.
Menurutnya, jumlah pemohon tertinggi adalah dari China seramai 48 orang, diikuti Amerika Syarikat seramai 15 orang, United Kingdom seramai sembilan, orang Singapura seramai lapan orang dan Taiwan seramai tujuh orang.
Sehubungan itu katanya, kementerianya melalui Sarawak Tourism Board (STB) juga sedang memperkukuh inisiatif promosi Program SMM2H di peringkat global.
"Program ini dipromosikan dalam pameran perdagangan dan pelancongan antarabangsa utama seperti ITB Berlin 2026 serta beberapa acara akan datang seperti ITB China, Seoul International Tourism Forum (SITF), World Travel Mart (WTM) London dan pelbagai sesi libat urus perniagaan-ke-perniagaan (B2B)," jelas beliau. -EDISI UKAS