MTCP Pergiat Usaha Dokumentasi Kepelbagaian Budaya 34 Etnik Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) terus memperkukuh usaha memelihara warisan budaya negeri menerusi dokumentasi naratif lisan, amalan tradisional dan sejarah sosial melibatkan 34 kumpulan etnik di negeri ini.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kementeriannya mengamalkan pendekatan mengutamakan komuniti dengan mengiktiraf masyarakat setempat sebagai penjaga warisan budaya masing-masing.
"Kami mengamalkan pendekatan mengutamakan komuniti dengan mengiktiraf komuniti sebagai penjaga warisan mereka sendiri.
"Naratif-naratif ini diterjemahkan ke dalam laluan warisan, program kebudayaan dan kandungan kreatif yang boleh dipelihara serta dikongsi bersama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementeriannya kini menghidupkan semula inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) dengan memberi fokus kepada pembangunan warisan pintar yang menggabungkan aplikasi digital serta penyertaan komuniti.
Jelasnya, antara inisiatif utama di bawah program itu ialah penerbitan buku The Revival of Songket & Keringkam Sarawak: Honouring Datuk Amar Juma'ani yang dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 27 November 2025.
"Melalui OKSHE, sebanyak 21 papan tanda bangunan warisan dan tiga papan tanda arah laluan warisan telah dipasang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kepentingan budaya dan sejarah kawasan warisan yang ditetapkan.
"Selain itu, projek mural seni bandar di Dock Lane bertemakan “Left to Right Flow: The Timeline of Kuching's Waterfront Legacy” telah siap dan berjaya dilancarkan pada 5 April 2026," jelas beliau. -EDISI UKAS