RM22.45 Juta Diluluskan, Perkasa Industri Pelancongan, Seni & Warisan Setakat April 2026
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) terus memperkukuh pembangunan sektor pelancongan, seni dan warisan negeri menerusi kelulusan geran berjumlah RM22.45 juta sepanjang tempoh Januari hingga April tahun ini.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelaksanaan tiga geran utama yang diwujudkan bagi merangsang pertumbuhan industri secara lebih tersusun, inklusif dan mampan.
Menurut beliau, tiga geran tersebut melibatkan Geran Sokongan Acara dan Pesta, Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak serta Geran Sokongan Kajian dan Penyelidikan Pelancongan, Warisan dan Kesenian Sarawak.
“Daripada jumlah keseluruhan RM22.45 juta yang diluluskan, sebanyak RM21.1 juta diperuntukkan menerusi Geran Sokongan Acara dan Pesta bagi menyokong 109 acara dan festival di seluruh Sarawak.
“Selain itu, RM1.35 juta diluluskan di bawah Dana Mudahcara Warisan dan Kesenian Sarawak untuk menyokong 28 program berkaitan seni, budaya dan warisan yang dianjurkan oleh persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institusi pengajian tinggi serta individu,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Jelas beliau, pendekatan berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan industri pelancongan tidak hanya tertumpu kepada promosi destinasi semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha memperkasa seni, budaya dan warisan sebagai identiti serta kekuatan utama negeri ini.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan kementeriannya turut meluluskan RM290,000 di bawah Geran Sokongan Kajian dan Penyelidikan Pelancongan, Warisan dan Kesenian Sarawak bagi menyokong cadangan penyelidikan strategik berkaitan sektor berkenaan.
Katanya, penyelidikan tersebut penting bagi mengenal pasti potensi pertumbuhan baharu selain memastikan setiap strategi pembangunan pelancongan negeri digerakkan berasaskan kajian, data dan impak jangka panjang.-EDISI UKAS