Surau An Nur Kampung Teh Siap Dibina, Mudahkan Umat Islam Balingian Beribadah
MUKAH: Penduduk Kampung Teh di sini kini dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa apabila Surau An Nur di kampung berkenaan siap dibina menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM500,000 di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata pembinaan surau baharu itu dilaksanakan selepas surau lama sering dimasuki air terutama ketika musim banjir.
“Alhamdulillah, pembinaan surau ini telah siap walaupun banyak cabaran yang dihadapi sebelum ini.
“Terima kasih kerajaan Sarawak kerana menyediakan kemudahan ini khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar.
“Di samping itu, kerajaan kita turut menyalurkan bantuan kepada penganut agama lain melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi pelaksanaan projek rumah ibadat mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan penyerahan siap projek tersebut pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Abdul Yakub berkata sebuah chapel baharu juga akan dibina di Kampung Sesok bagi kemudahan masyarakat Kristian di kawasan DUN Balingian.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Surau An Nur Kampung Teh, Rapiee Jaimin Yahya turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak dan Abdul Yakub atas keprihatinan membantu membina surau baharu tersebut.
“Alhamdulillah, surau ini telah siap dibina dan kami berterima kasih kepada ADUN Balingian atas inisiatif dan sokongan beliau sehingga surau ini berjaya dibina.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, akhirnya surau ini siap untuk kegunaan masyarakat,” katanya.
Selesai penyerahan projek siap Surau An Nur, Abdul Yakub turut menyaksikan penyerahan naik taraf jalan ke Rumah Amoi, Bukit Ambun, Jalan Mukah-Selangau.
Selain itu, dua lagi penyerahan projek siap di bawah RTP DUN Balingian iaitu Naik Taraf Padang Futsal di Dewan Masyarakat Balingian dan Naik Taraf Jalan Perhubungan Desa Rh Meling Ak Ujang, Sungai Setuan Kecil.-EDISI UKAS