Infra Asas Fokus Utama Dalam Perancangan Pembangunan Bintulu
BINTULU: Pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik serta jaringan telekomunikasi dan internet yang stabil menjadi fokus utama dalam perancangan pembangunan Bahagian Bintulu menjelang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Perkara tersebut dibincangkan dalam Mesyuarat Pengurusan Cadangan Projek RMK-13 Bahagian Bintulu yang dipengerusikan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom di Pejabat Residen Bahagian Bintulu, pada Rabu.
Menurut beliau, perancangan pembangunan yang komprehensif amat penting bagi memastikan setiap projek yang dicadangkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat selain menyokong pertumbuhan ekonomi di Bahagian Bintulu.
Katanya, penyediaan kemudahan infrastruktur yang lengkap mampu merangsang pembangunan luar bandar serta mengimbangi taburan penduduk antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Apabila kemudahan asas mencukupi, penduduk tidak lagi teragak-agak untuk kembali menetap di kawasan luar bandar, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” jelas beliau.
Mesyuarat tersebut turut meneliti senarai projek yang dicadangkan di bawah RMK-13 termasuk cadangan yang dikemukakan melalui Jawatankuasa Bintulu Rural Development Committee (BIRDCOM) Bahagian Bintulu bagi memastikan projek yang dirancang memberi impak jangka panjang kepada pembangunan kawasan.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan antara agensi pelaksana bagi meningkatkan kualiti perancangan projek serta memastikan pelaksanaan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam merangka pembangunan Bintulu secara strategik bagi memperkukuh kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Hadir sama Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, ADUN Jepak Iskandar Turkee, Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti serta wakil Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta agensi berkaitan.-EDISI UKAS