Program CSR UKAS Perkasa Kesedaran Pertolongan Cemas
KUCHING: Penganjuran program Sentuhan Prihatin: Corporate Social Responsibility (CSR) anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Daerah Kuching dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan bantuan kecemasan awal.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, pengetahuan asas pertolongan cemas amat penting kerana orang awam sering menjadi individu pertama yang berada di lokasi kejadian sebelum bantuan perubatan tiba.
“Dalam setiap kejadian kecemasan, bukan sahaja agensi kerajaan atau NGO memainkan peranan, tetapi masyarakat juga perlu bersedia membantu memberikan rawatan awal supaya kecederaan tidak menjadi lebih serius,” katanya semasa menyempurnakan majlis penutupan program tersebut di Galeri, Pustaka Negeri Sarawak pada Khamis.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan pantas individu yang mempunyai kemahiran asas pertolongan cemas mampu membantu menstabilkan keadaan mangsa sementara menunggu bantuan perubatan profesional tiba.
Sehubungan itu, Datuk Abdullah menyarankan agar UKAS memperbanyakkan penganjuran program kesedaran seperti ini, khususnya di kawasan luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan.
Menurutnya, penglibatan belia, pemimpin kampung serta komuniti setempat dalam latihan bantuan kecemasan mampu mewujudkan pasukan sokongan awal yang boleh bertindak segera sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan.
“Inisiatif seperti ini amat penting terutama di kawasan luar bandar yang jaraknya jauh dari klinik dan hospital. Dengan latihan yang betul, komuniti setempat dapat membantu memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memberi laluan kepada ambulans bagi memastikan bantuan perubatan dapat tiba dengan cepat di lokasi kecemasan.
Program CSR tersebut mencerminkan komitmen UKAS dalam memperkukuh kesedaran kesihatan awam di samping menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan sukarelawan dan komuniti dalam meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi sebarang kecemasan.
Hadir sama, Pengerusi Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pengarah JKOM Zon Sarawak, Ajes Tuah dan tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS