Projek IAC Bintulu Dijangka Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan
BINTULU: Pentadbiran Bahagian Bintulu mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Bintulu Integrated Administrative Centre (IAC) di Jepak pada Khamis bagi meninjau perkembangan semasa serta status pelaksanaan projek berkenaan.
Lawatan tersebut dilakukan oleh Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan dan turut disertai bersama pegawai dari Pejabat Residen Bintulu.
Semasa lawatan itu, rombongan diberikan taklimat mengenai perkembangan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu selaku agensi pelaksana sebelum dibawa meninjau kawasan pembinaan bagi melihat sendiri kemajuan kerja, kualiti pelaksanaan serta susun atur ruang pejabat yang dirancang.
Menurut Abang Zainuddin, pihak pentadbiran berharap projek tersebut dapat disiapkan sepenuhnya mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan tanpa sebarang kelewatan.
“Pihak Pejabat Residen serta agensi-agensi yang telah tersenarai amat berharap agar perpindahan ke pejabat baharu ini dapat direalisasikan pada tahun ini.
“Ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di Bahagian Bintulu dapat dipertingkatkan dalam persekitaran yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau menambah, lawatan pemantauan seperti ini penting bagi memastikan setiap fasa pelaksanaan projek berjalan lancar serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Projek IAC Bintulu dijangka menjadi pusat pentadbiran yang menempatkan pelbagai jabatan kerajaan di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan urusan orang awam serta memperkukuh penyelarasan perkhidmatan antara agensi kerajaan di Bahagian Bintulu. -EDISI UKAS