55 Masjid & Surau Kota Samarahan Terima Geran, Perkukuh Peranan Institusi Islam
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 55 buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Kota Samarahan menerima geran khas sebagai usaha memperkukuh peranan institusi Islam serta memperkasakan aktiviti keagamaan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, bantuan tersebut melibatkan 35 buah masjid dan 20 buah surau bagi menyokong pengurusan institusi berkenaan selain membantu pelaksanaan pelbagai program keagamaan serta kerja penyelenggaraan kemudahan demi keselesaan jemaah.
Menurut beliau, institusi masjid dan surau memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai pusat penyatuan masyarakat serta platform memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan pembangunan masyarakat berlaku secara seimbang, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga pembangunan spiritual melalui pemerkasaan institusi masjid dan surau,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan geran tersebut di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, sumbangan yang disalurkan diharap dapat membantu pihak pengurusan masjid dan surau merancang serta melaksanakan pelbagai program keagamaan, khususnya sepanjang bulan Ramadan selain mempergiatkan aktiviti kebajikan untuk manfaat masyarakat setempat.
Majlis tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan institusi Islam, khususnya di kawasan luar bandar, sekali gus memastikan kemudahan ibadah sentiasa berada dalam keadaan baik, selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang. -EDISI UKAS