Tiga Projek Infrastruktur Siap Dilaksanakan di Kampung Tian
MATU: Tiga projek infrastruktrur bernilai RM700,000 telah siap dilaksanakan di Kampung Tian dan diserahkan secara rasmi dalam satu lawatan kerja yang disaksikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya pada Khamis.
Projek-projek tersebut melibatkan naik taraf jalan-jalan di kawasan Kampung Baru Tian, kerja-kerja melebarkan jalan di Kampung Padang Tian serta naik taraf parkir awam Kampung Tian.
Keseluruhan projek berkenaan menelan kos kira-kira RM700,000 dan dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan asas serta keselesaan penduduk setempat, khususnya dari segi jaringan jalan kampung dan kemudahan tempat letak kenderaan.
Ketika ditemui, Datuk Dr Juanda menyifatkan pelaksanaan projek tersebut amat penting kerana ia membantu memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar selain memudahkan pergerakan harian penduduk.
Katanya, projek naik taraf parkir awam juga dapat membantu mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kenderaan yang sering dihadapi oleh penduduk serta pengunjung di kawasan berkenaan.
"Pelaksanaan projek-projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat, khususnya dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih selesa dan selamat kepada masyarakat," katanya.
Beliau menegaskan, usaha pembangunan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan dan keselesaan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, selari dengan komitmen kerajaan untuk membawa pembangunan yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat. -EDISI UKAS