11,900 Petugas Barisan Hadapan Terima Pek Sumbangsih Raya Kerajaan Sarawak
KUCHING: Seramai 11,900 petugas badan beruniform dan agensi penguatkuasaan di Sarawak akan menerima Pek Makanan Sumbangsih Raya 2026 sebagai tanda penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap pengorbanan mereka yang tetap bertugas ketika musim perayaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program Sumbangsih Perayaan merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada anggota keselamatan dan penguatkuasa yang terus menjalankan amanah demi memastikan kedaulatan, keselamatan serta keamanan Sarawak terpelihara walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika Hari Raya.
Menurut beliau, pada tahun ini pek sumbangan yang disediakan turut mengambil kira cadangan wakil agensi penerima melalui mesyuarat perancangan sebelum ini, termasuk penyediaan makanan sedia dimakan bagi memudahkan petugas ketika bertugas.
“Secara keseluruhan, enam jenis produk disediakan iaitu pek makanan sedia makan, mi kolok segera, kerepek, kacang, minuman kopi tiga dalam satu serta minuman teh tiga dalam satu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2026 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patingi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.
Beliau menambah, pek makanan tersebut diagihkan kepada 11 agensi keselamatan dan penguatkuasaan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (4,000 pek), Polis Diraja Malaysia (2,400 pek), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (1,050 pek).
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (1,550 pek), Jabatan Penjara Malaysia (450 pek), Jabatan Imigresen Malaysia (550 pek), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (750 pek), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (550 pek), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (250 pek), Jabatan Sukarelawan Malaysia (250 pek) serta Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (100 pek).
Menurutnya lagi, sumbangan tersebut merupakan simbol kasih dan penghargaan ikhlas Kerajaan Sarawak kepada para petugas yang tetap berdiri teguh menjalankan tanggungjawab demi memastikan keselamatan rakyat.
“Meskipun terpaksa berjauhan daripada anak dan keluarga tercinta ketika musim perayaan, yang bertugas akan terasa dan yang ditinggalkan pasti merasa hiba namun pengorbanan perlu diterima demi negara yang tercinta, berdaulat dan merdeka,”ujarnya lagi. -EDISI UKAS