ADUN Jemoreng Santuni Peniaga Bazar Ramadan, Sertai Agihan Bubur Pedas di Matu
MATU: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya turun padang menyantuni masyarakat setempat menerusi beberapa program sempena bulan Ramadan di sekitar Pekan Matu dan Kampung Tian pada Khamis.
Beliau terlebih dahulu mengunjungi Tapak Bazar Ramadan Matu bagi bertemu dan beramah mesra dengan para peniaga serta pengunjung yang hadir mendapatkan juadah berbuka puasa.
Kehadiran beliau nyata menceriakan suasana bazar yang menempatkan seramai 21 peniaga yang giat menjalankan perniagaan sepanjang bulan Ramadan bagi menambah pendapatan keluarga.
Pada kesempatan itu, Datuk Dr Juanda turut menyampaikan cenderahati kepada para peniaga sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka dalam memeriahkan Bazar Ramadan serta menyumbang kepada aktiviti ekonomi tempatan.
Selain menyantuni peniaga, beliau turut mengambil peluang meninjau beberapa projek pembangunan di sekitar Pekan Matu, termasuk projek Astaka Matu yang telah siap, serta projek naik taraf Medan Selera Matu dan taman permainan kanak-kanak yang terletak berhampiran kawasan bazar.
Seterusnya, Datuk Dr Juanda menghadiri program agihan bubur pedas dan air minuman kepada pengguna jalan raya di Jalan Utama Kampung Tian, Matu.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tian yang bergotong-royong menyediakan juadah tradisional berkenaan untuk diagihkan kepada orang ramai.
Melalui program tersebut, pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan, sama ada dalam perjalanan pulang dari tempat kerja atau keluar mencari juadah berbuka puasa, berpeluang menerima bubur pedas dan air minuman secara percuma.
Kehadiran wakil rakyat turut menceriakan suasana apabila ramai pengguna jalan raya mengambil kesempatan bertegur sapa serta merakamkan penghargaan atas inisiatif berkongsi rezeki sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. -EDISI UKAS