Ramadan Madrasah Rohani Didik Jiwa, Bentuk Akhlak Manusia
MATU: Bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya satu madrasah rohani yang mendidik jiwa serta membentuk akhlak manusia ke arah kehidupan yang lebih berintegriti dan beramanah.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, Ramadan mengajar umat Islam untuk membersihkan hati, memperbaharui niat serta menguatkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.
Tanbahnya, Majlis Iftar Jamaie bukan sekadar pertemuan fizikal, tetapi juga pertemuan hati yang mengeratkan kebersamaan dan tanggungjawab sesama masyarakat.
“Dalam perspektif agama, integriti sangat dekat dengan nilai amanah.
"Amanah ini bukan hanya pada jawatan yang disandang, tetapi juga pada tanggungjawab, keputusan yang dibuat serta nilai yang dipegang dalam kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Program Integriti Sempena Ihya Ramadan dan Iftar Jamaie 1447H/2026M di Masjid Darul Hidayatullah, Kampung Jemoreng, di sini, pada Khamis.
Tambahnya lagi, sekiranya semangat Ramadan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan dalam pekerjaan, maka nilai amanah akan sentiasa terpelihara dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.
Selain itu, majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf di daerah Matu sebagai tanda keprihatinan dan usaha membantu mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Program kemudiannya diteruskan dengan majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah. -EDISI UKAS