Festival Big Bike Antarabangsa Perkukuh Persaudaraan Komuniti Borneo
KUCHING: Penganjuran Borneo Island International Big Bike Festival (BIIBBF) Ke-24 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat persaudaraan dan solidariti komuniti penunggang motosikal berkuasa tinggi di rantau Borneo.
Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ramzi Abdillah berkata, festival tersebut bukan sekadar menghimpunkan komuniti peminat motosikal besar, malah mencerminkan ikatan kukuh serta semangat kebersamaan antara peserta dari Sarawak, Sabah, Brunei, Labuan dan Kalimantan, Indonesia.
Menurut beliau, semangat perpaduan yang ditonjolkan menerusi festival berkenaan amat penting dalam suasana dunia yang semakin mencabar ketika ini.
“Apa yang dapat dilihat ialah ikatan persaudaraan yang sangat kuat dalam kalangan komuniti bikers dari seluruh Borneo.
“Walaupun dunia berdepan pelbagai konflik dan pergolakan, komuniti di Pulau Borneo masih mampu menampilkan semangat solidariti dan perpaduan yang tinggi,” katanya ketika berucap sempena festival tersebut.
Beliau berkata demikian semasa ucapannya pada makan malam Gala di Waterfront, Kuching pada Sabtu.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj 24th BIIBBF 2026, gimik penyerahan bendera BIIBBF 2027 kepada Presiden LA Riders Club Labuan, Dato Mohd Rafi Alli Hassan serta penyerahan momento kepada lima kelab induk Borneo melibatkan Brunei, Sarawak, Indonesia, Labuan dan Sabah.
Penganjuran festival selama 24 tahun secara konsisten itu turut membuktikan keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa serta berpotensi merancakkan industri pelancongan dan sukan permotoran negeri.
Kehadiran peserta dan pengunjung dari pelbagai negara dilihat memberi impak positif kepada sektor perhotelan, makanan dan pengangkutan di Sarawak, di samping membantu mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang unik dan selamat.
Dalam pada itu, semua peserta turut diingatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya dengan mematuhi undang-undang serta mengekalkan imej positif komuniti motosikal berkuasa tinggi.
Festival berkenaan juga dilihat bukan sekadar platform menghimpunkan peminat motosikal besar, malah membawa mesej persaudaraan, disiplin, semangat berpasukan dan gaya hidup sihat yang wajar diterapkan dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir Presiden Sabah Big Bikers Association (SBBA) Sabah, Datuk Osman Ahmed, Presiden LA Riders Club Wilayah Persekutuan Labuan, Dato Mohd Rafi Alli Hassan, Yang Dipertua Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA) Brunei Darussalam, Pengiran Redzuan Pengiran Ahmad, Presiden Borneo Island Big Bikers (BIBB) Sarawak, Ramlee Tuah serta Presiden Ikatan Motor Besar Indonesia (IMBI) Kalimantan, Jailani Abang Zainuddin.- EDISI UKAS