WAK Festival 2026 Pelawa Idea Baharu, Perkasa Ekosistem Industri Kreatif Sarawak
KUCHING: WAK Festival secara rasmi membuka permohonan Call for Proposals (CFP) bagi edisi 2026, sekali gus mengundang penggiat seni, komuniti kreatif, organisasi serta pengamal budaya dari Sarawak dan rantau ini mengemukakan cadangan program bagi memeriahkan festival tersebut.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Jumaat.
Menurut beliau, festival berkenaan kini menjadi antara platform penting dalam mempromosikan seni, budaya dan gaya hidup Sarawak kepada khalayak lebih luas.
“WAK Festival mencerminkan identiti Sarawak yang kreatif, pelbagai dan berpandangan ke hadapan, selain berperanan memperkasa jaringan komuniti kreatif di peringkat tempatan dan serantau,” katanya semasa majlis tersebut.
Sementara itu, Pengarah festival, Donald Tan berkata, edisi kelapan festival itu menampilkan tema “Shoots” yang membawa makna pertumbuhan serta kemunculan idea baharu dalam ekosistem kreatif Sarawak.
Menurut beliau, tema tersebut menggambarkan proses perkembangan bakat, kerjasama kreatif serta perusahaan seni yang sedang berkembang, sekali gus memberi ruang kepada idea baharu untuk muncul dan berkembang dalam industri kreatif tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan tersebut selari dengan konsep festival seni akses terbuka seperti Edinburgh Fringe Festival, yang terkenal sebagai platform eksperimen kreatif serta ruang kepada bakat baharu untuk mengetengahkan karya mereka di peringkat lebih luas.
“WAK memberi peluang kepada komuniti kreatif untuk mencuba idea baharu, membentuk kolaborasi serta membangunkan perusahaan kreatif yang mampu berkembang melangkaui festival ini,” katanya.
Dengan mengangkat identiti Sarawak, tema “Shoots” turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat muda dan perusahaan kreatif baharu pada peringkat awal, sekali gus membantu memperkukuh industri kreatif negeri secara berperingkat dari peringkat akar umbi.
Sepanjang Jun dan Oktober 2026, festival itu akan menyediakan platform terbuka kepada komuniti kreatif tempatan, serantau dan antarabangsa untuk mempersembahkan karya serta mempamerkan kreativiti mereka di pelbagai ruang awam dan persendirian di Sibu, Miri dan Kuching.
Melalui pendekatan akses terbuka, festival tersebut menggalakkan penyertaan aktif daripada kolaborator merentasi pelbagai bidang seni, budaya dan gaya hidup, dengan penglibatan dari negeri jiran serta negara serantau dijangka terus memperkayakan kepelbagaian festival itu.
Penggiat seni, organisasi dan kumpulan komuniti yang berminat boleh mengemukakan cadangan program melalui laman web rasmi festival di www.wakfestival.com.-EDISI UKAS