PETROS–JTM Perkukuh Kemahiran Industri Sarawak, Sasar Latih Lebih 500 Tenaga Mahir pada 2026
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bagi memperkukuh pembangunan kemahiran industri di Sarawak melalui kerjasama dengan Advanced Technology Training Centre (ADTEC JTM).
Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Rospiagos Taha, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Anielia Siam serta wakil PETROS yang diketuai Naib Presiden Kanan Modal Insan, Perhubungan Korporat dan Perkhidmatan, Ismail Said.
Menurut Ismail, permintaan terhadap tenaga kerja mahir dijangka terus meningkat selaras dengan perkembangan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Seiring kemajuan projek di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak permintaan terhadap tenaga kerja yang berkemahiran dan bersedia untuk industri akan terus meningkat.
“Kerjasama dengan rakan latihan amat penting bagi memastikan rakyat Sarawak memperoleh kemahiran relevan, pendedahan praktikal serta keyakinan untuk merebut peluang dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Melalui kerjasama tersebut, PETROS akan bekerjasama dengan kampus ADTEC di Sarawak bagi melaksanakan model latihan berasaskan kompetensi yang selaras dengan keperluan industri.
Inisiatif ini menyasarkan untuk melatih lebih 500 rakyat Sarawak pada tahun 2026 dalam bidang kemahiran berpermintaan tinggi seperti kimpalan, perancah, kerja peletupan dan pengecatan industri, pemasangan mekanikal serta pemasangan paip.
Peserta program juga berpeluang memperoleh pensijilan yang diiktiraf industri termasuk Pasport Keselamatan Minyak dan Gas (OGSP) serta Kad Hijau Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program Empowering Learning, Advancing Talent Employability (ELEVATE) PETROS yang sebelum ini dikenali sebagai program Latih & Penempatan yang menyediakan laluan pembangunan kemahiran hingga ke peluang pekerjaan.
Sejak diperkenalkan, program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 500 rakyat Sarawak melalui kerjasama industri yang menyokong pelaksanaan SGR serta Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Sehubungan itu, pencari kerja termasuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat meningkatkan kemahiran atau beralih ke sektor industri digalakkan menghubungi Kampus ADTEC JTM Miri bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan dan proses permohonan.-EDISI UKAS