Betong Tumpuan Perarakan Gawai Dayak 2026, Tampil Keunikan Budaya Tersendiri
KUCHING: Sambutan STF Gawai Dayak Open House dan Parade 2026 yang bakal diadakan di Betong dijangka menjadi antara tarikan budaya utama Sarawak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara tersebut bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Dayak, malah membuka peluang besar untuk mempromosikan kekayaan budaya Sarawak kepada pelawat dari dalam dan luar negara.
Menurut beliau, perayaan Gawai Dayak merupakan simbol kesyukuran selepas musim menuai serta menjadi waktu penting bagi masyarakat berkumpul, mengeratkan hubungan dan mengekalkan tradisi yang diwarisi turun-temurun.
“Selain kepentingan budaya, Gawai juga mencerminkan nilai keramahan, semangat kebersamaan dan kekuatan komuniti yang menjadi identiti masyarakat Sarawak,” katanya ketika berucap pada sidang media mengenai penganjuran festival tersebut di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, pemilihan Betong sebagai lokasi penganjuran amat signifikan memandangkan daerah tersebut kaya dengan warisan budaya Dayak serta mempunyai semangat komuniti yang kuat.
Katanya, acara seperti ini turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan, penggiat kraftangan serta perniagaan kecil melalui peningkatan kehadiran pelancong.
Dalam pada itu, beliau menyeru pengamal media serta pemain industri pelancongan untuk terus menyokong dan mempromosikan festival tersebut agar lebih ramai pelawat berpeluang merasai sendiri keunikan sambutan Gawai Dayak di Betong.
Beliau yakin penganjuran STF Gawai Dayak Open House dan Parade 2026 berpotensi menjadi antara acara kebudayaan utama yang menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkenalkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya, tradisi serta pengalaman autentik.
Sementara itu, Awang Saifeluddin Awang Karim daripada Borneo Glamping dan mewakili Sarawak Tourism Federation berkata, Perarakan Gawai Betong akan diadakan pada 6 Jun dan dijangka menjadi antara acara kemuncak sambutan tersebut.
Menurut beliau, perarakan tahun lalu berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung, manakala sekitar 1,500 peserta dijangka mengambil bahagian dalam perarakan bagi edisi kali ini.
“Perarakan ini mengetengahkan elemen budaya yang unik. Apa yang membezakan Betong ialah persembahan budaya yang dipamerkan dalam perarakan ini berbeza daripada yang biasa dilihat di bandar lain seperti Kuching.
“Menariknya, perarakan ini turut melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dan kepercayaan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan masyarakat Sarawak,” jelasnya.-EDISI UKAS