PEMADAM Gedong Edar 230 Pek Bubur Lambuk, Semarak Ramadan Sambil Tingkat Kesedaran Anti Dadah
GEDONG: Semangat Ramadan terus disemarakkan apabila sebanyak 230 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk sekitar Gedong menerusi program anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Gedong pada Jumaat.
Pengagihan juadah berbuka puasa itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Gedong merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Gedong, Jamain Wahab sebagai simbol keprihatinan terhadap masyarakat setempat di samping menghidupkan amalan berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, program tersebut bukan sahaja bertujuan menyantuni masyarakat, malah menjadi medium untuk merapatkan hubungan silaturahim antara ahli PEMADAM dan komuniti setempat melalui pendekatan kemasyarakatan yang lebih dekat dengan rakyat.
Melalui inisiatif berkenaan, penduduk berpeluang menerima juadah berbuka puasa secara percuma sekali gus menyemarakkan lagi semangat kebersamaan serta budaya berkongsi rezeki dalam kalangan masyarakat.
Dalam masa yang sama, program tersebut turut dimanfaatkan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta peranan PEMADAM dalam usaha pencegahan gejala tersebut.
Sehubungan itu, risalah berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah turut diedarkan kepada penduduk bagi memberi pendedahan serta menggalakkan kerjasama masyarakat dalam membanteras masalah berkenaan.
Hadir sama, Naib Pengerusi (Lelaki) PEMADAM Daerah Gedong Maharthir Oyak dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Gedong merangkap Setiausaha PEMADAM Daerah Gedong Mohammad Fiirdaus Habari. -EDISI UKAS