Ilmu & Integriti Berpandukan Al-Quran Teras Transformasi Pembangunan
SRI AMAN: Penghayatan ilmu serta nilai integriti berpandukan ajaran Al-Quran perlu dijadikan teras dalam usaha memperkukuh pembangunan dan memacu transformasi Sarawak ke tahap yang lebih maju.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan negeri tidak hanya bergantung kepada perancangan fizikal dan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan penghayatan ilmu serta nilai murni yang mampu membentuk masyarakat berintegriti dan berdaya saing.
"Jadi kalau kita berpandu kepada Al-Quran dan kita ada niat yang baik, saya ingat kita boleh memajukan negeri kita.
"Negeri kita ini dalam proses transformasi di mana kita nak membangunkan dalam peringkat yang lebih tinggi.
"Kalau boleh, kita menjadi pencipta, bukan pengikut dalam bidang-bidang ilmu yang kita terkait untuk membangunkan negeri kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Masjid Bahagian Sri Aman pada Jumaat.
Hadir menyerikan sambutan tersebut, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, umat Islam di Sarawak perlu meneladani keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang dikenali sebagai Al-Amin sejak usia muda kerana sifat amanah, jujur dan berintegriti tinggi dalam menjalankan tanggungjawab.
Malah katanya, masyarakat Islam di Sarawak juga perlu menelaah ilmu dengan sebaiknya dalam usaha untuk mengubah dan memperbaiki masyarakat dalam usaha memperbaiki keadaan masing-masing .
Ia selaras dengan firman Allah bahawa sesuatu kaum tidak akan berubah nasibnya melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.
"Bahkan di Simanggang ini, kita nak mengubah masjid itu lagi supaya diperelokkan lagi masjid ini dan memberi lambang kepada kekuatan dan juga kepakaran yang ada pada umat Islam.
"Alhamdulillah, depan masjid kita dah bangunkan Kompleks Baitulmal dan ini adalah usaha kita sendiri kerana apabila ekonomi kita kuat, mereka memberi zakat kepada kita, dan inilah sumber yang boleh memperkuatkan kita orang Islam," jelas beliau.
Hadir sama, anakanda kepada Premier Sarawak Dayang Norjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhammad Rais Sanusi