SKAS Ringankan Beban Rakyat, S Pay Global Pemacu Ekonomi Digital Sarawak
SIBU: Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) terus menerima maklum balas positif daripada rakyat negeri ini yang menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan signifikan dalam membantu mereka mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup.
Salah seorang penerima, Zarifah Husen, 28, berkata, bantuan tersebut amat bermakna terutamanya kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana dalam memastikan keperluan asas harian dapat dipenuhi.
“Bantuan SKAS sangat membantu rakyat dalam meringankan kos sara hidup. Bagi saya yang tinggal bersama keluarga, ia membantu menampung perbelanjaan barang dapur supaya beban kewangan tidak terlalu terasa," katanya ketika ditemui UKAS.
Beliau turut mencadangkan agar skop penggunaan SKAS diperluaskan bagi merangkumi premis kesihatan dan penjagaan diri.
"Jika ia boleh digunakan di premis seperti Guardian atau Watsons untuk membeli ubat-ubatan asas dan vitamin, ia akan menjadi lebih menyeluruh kerana barangan tersebut juga merupakan keperluan penting," tambahnya.
Selain membantu meringankan kos sara hidup, SKAS turut dilihat berperanan dalam menggalakkan amalan transaksi tanpa tunai dalam kalangan rakyat Sarawak melalui penggunaan aplikasi S Pay Global.
Seorang lagi penerima, Olivia Querysmar Christus, 27, berpendapat penggunaan kaedah pembayaran digital itu memudahkan urusan harian tanpa perlu membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.
"Proses melalui S Pay Global terbukti mudah dan berpotensi menggalakkan orang ramai meneruskan penggunaan e-dompet.
“Namun, saya berharap sistem ini ditambah baik untuk membolehkan pembayaran bil utiliti atau pembelian secara dalam talian pada masa akan datang," jelasnya.
Sementara itu, Azra Khairunnisa Adni, 25, menyifatkan SKAS sebagai manifestasi keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Beliau mencadangkan agar lebih banyak peruncit, khususnya kedai runcit di kawasan luar bandar, didaftarkan di bawah S Pay Global bagi memudahkan penduduk pedalaman menggunakan bantuan tersebut.
“Jika lebih banyak kedai runcit kampung didaftarkan di bawah S Pay Global, penduduk pedalaman tidak perlu turun ke bandar semata-mata untuk membelanjakan bantuan ini,” katanya.
Pandangan serupa turut disuarakan Abdullah Fahimi Abu Bakar, 25, yang berpandangan bahawa inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima bantuan, malah membuka peluang kepada peniaga kecil untuk beralih ke arah sistem transaksi digital.
Beliau turut mencadangkan agar kaunter bantuan bergerak (mobile helpdesk) diwujudkan di lokasi tumpuan awam seperti pasar bagi membantu golongan warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi telefon pintar.
“Cadangan saya adalah untuk mengadakan kaunter bantuan bergerak (mobile helpdesk) di pasar awam bagi membantu warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi telefon pintar supaya mereka tidak ketinggalan menerima manfaat SKAS,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Emane Narsa Farissa Abdul Hamid, 27, program SKAS dilihat sebagai antara inisiatif yang memberi impak positif kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, dalam menampung peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, bantuan tersebut membantu penerima merancang perbelanjaan dengan lebih sistematik kerana sebahagian keperluan asas harian telah disokong melalui inisiatif yang disediakan kerajaan negeri.
“Bantuan yang disalurkan menerusi program ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka menampung perbelanjaan harian, terutamanya bagi keperluan asas seperti makanan dan barangan dapur.
“Melalui inisiatif ini, penerima bantuan dapat merancang perbelanjaan dengan lebih teratur kerana sebahagian keperluan harian telah ditampung oleh bantuan yang disediakan,” katanya.
Untuk rekod, SKAS mula dilaksanakan pada 2025 dengan pemberian sokongan tahunan antara RM250 dan RM800 kepada rakyat Sarawak yang layak, melalui peruntukan RM557 juta, memanfaatkan lebih 1.03 juta penerima.
Bagi tahun 2026, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sehingga RM950 setahun bagi kategori isi rumah, RM500 bagi warga emas dan RM300 bagi individu bujang.
Bantuan yang menyasarkan golongan B40 dan M40 ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM640 juta dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 1 juta penerima di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS