Penduduk Mupong Tengah Nikmati Kemudahan Jalan Baharu Gantikan Titian Kayu
MUPONG: Penduduk di sembilan buah rumah panjang di kawasan Mupong Tengah kini menikmati kemudahan jalan baharu selepas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menghubungkan rumah-rumah panjang tersebut di bawah Fasa 1 berjaya disiapkan sepenuhnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol, semasa simbolik penyerahan tapak projek siap berkenaan pada Jumaat menyatakan kepuasan beliau kerana projek tersebut siap mengikut jadual, sekali gus memberikan manfaat langsung kepada penduduk setempat.
Datuk Abdullah turut memaklumkan bahawa Fasa 2 projek tersebut yang merangkumi kerja-kerja menurap jalan akan dilaksanakan pada masa akan datang selepas mendapat kelulusan pihak berkaitan.
Pembinaan jalan sepanjang 600 meter ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan penduduk, tetapi juga menggantikan titian kayu yang telah lama digunakan sebagai laluan utama, menjadikannya lebih selamat dan mudah diakses.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak bagi kawasan DUN Semop dengan kos berjumlah RM400,000, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sarikei bertindak sebagai agensi pelaksana.
Kerja-kerja pembinaan bermula pada November 2025 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Februari 2026, selaras dengan jadual yang ditetapkan.
Turut hadir semasa majlis penyerahan tapak projek ialah Penolong Jurutera Awam DID Sarikei Abd Rashid Abd Rahman serta Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Meradong, Hana Safea Tegku.-EDISI UKAS