Shandong Port Group Tinjau Peluang Pelaburan Pelabuhan, Petrokimia & Pertanian di Sarawak
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik dan hab perdagangan serantau apabila menerima kunjungan hormat delegasi Shandong Port Group dari China yang berminat meneroka peluang pelaburan di negeri ini khususnya dalam sektor pembangunan dan pengurusan pelabuhan, petrokimia serta pertanian.
Delegasi yang diketuai oleh Pengerusi Shandong Port Group, Wang Wei telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini pada Jumaat.
Turut menyertai delegasi tersebut ialah Naib Presiden Yatong Petrochemical Group Yu Kechao, Pengarah dan Pengurus Besar Tianye Corporation Shan Dan serta beberapa pengurusan kanan syarikat berkenaan.
Dalam pertemuan tersebut, syarikat-syarikat dari China tersebut turut berkongsi kepakaran mereka dalam perkhidmatan rantaian bekalan bersepadu, pembangunan pelabuhan pintar dan hijau, penyimpanan komoditi serta teknologi pemprosesan petrokimia dan agromakanan yang maju.
Menurut Datuk Amar Awang Tengah, Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti yang mampu menyokong agenda pembangunan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak komited menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif melalui usaha berterusan memodenkan infrastruktur termasuk rangkaian pengangkutan dan logistik, telekomunikasi serta utiliti bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Tambah beliau, salah satu kelebihan utama Sarawak ialah sumber tenaga boleh diperbaharui yang melimpah dengan sasaran menjana 10 gigawatt (GW) tenaga menjelang tahun 2030, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai “Battery of ASEAN.”
Dalam masa sama, Datuk Amar Awang Tengah turut menggalakkan delegasi tersebut meneroka peluang pelaburan di Sarawak dengan memanfaatkan sumber semula jadi negeri, lokasi strategik serta akses kepada pasaran Asia Tenggara yang pesat berkembang serta rangkaian perdagangan global.
Beliau turut menekankan potensi Sarawak untuk muncul sebagai hab serantau bagi keseluruhan rantaian nilai industri petrokimia dan makanan, khususnya dalam memenuhi permintaan pasaran halal yang semakin berkembang.
Sarawak tegasnya juga kekal komited memudah cara pelabur melalui dasar yang telus serta pembangunan infrastruktur berterusan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan integrasi serantau.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Dr Malcom Musen Lamoh, Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) Datu Zainal Abidin Abdullah serta pegawai daripada Petroleum Sarawak Berhad (PETROS). -EDISI UKAS