Langkah Proaktif Tangani Hakisan & Saliran Demi Keselamatan Penduduk Meradong
MERADONG: Usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur serta memastikan keselamatan komuniti setempat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Perkara itu diterjemahkan melalui lawatan pemeriksaan tapak bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei bagi meninjau beberapa isu berkaitan infrastruktur dan sistem perparitan di kawasan Meradong.
Lawatan pada Jumaat dimulakan di SMK Tong Hua, Bintangor bagi meneliti masalah hakisan tanah akibat aliran air kuat terutama ketika hujan lebat yang berpotensi menjejaskan keselamatan pelajar, guru serta kemudahan sekolah.
Pihak DID dan JKR telah melakukan penilaian awal di lokasi bagi mengenal pasti punca masalah serta meneliti cadangan penyelesaian termasuk pengukuhan tebing dan penambahbaikan sistem saliran.
Datuk Ding berkata isu hakisan tersebut perlu ditangani segera bagi memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa terpelihara di samping melindungi kemudahan infrastruktur sedia ada.
Selain itu, beliau turut melawat Rumah Untin di Sungai Mador bagi meninjau masalah saliran yang menyebabkan air mudah bertakung dan berisiko mengakibatkan banjir kilat ketika musim hujan.
Sehubungan itu, DID Bahagian Sarikei akan meneliti langkah penambahbaikan terhadap sistem saliran bagi memastikan aliran air dapat dikawal dengan lebih berkesan serta mengurangkan risiko banjir dan hakisan.
Datuk Ding turut menegaskan bahawa beliau akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan isu pembangunan dan infrastruktur di Meradong dapat ditangani secara berperingkat demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS