RM650,000 Naik Taraf Infrastruktur Kampung Bukit Berangan
KUCHING: Lebih RM650,000 diperuntukkan bagi melaksanakan beberapa projek naik taraf kemudahan awam di Kampung Bukit Berangan, termasuk penambahbaikan tanah perkuburan Islam, sistem perparitan kampung serta kemudahan di Masjid Darul Malihah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, antara projek yang sedang dilaksanakan ialah penambahbaikan kawasan tanah perkuburan Islam bernilai RM350,000 serta projek menaik taraf sistem perparitan kampung berjumlah RM200,000 yang kini dalam proses pelaksanaan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut bertujuan meningkatkan kemudahan asas penduduk di samping memastikan persekitaran kampung lebih teratur, selamat dan selesa.
Selain itu, beliau turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100,000 bagi kerja penambahbaikan kemudahan di Masjid Darul Malihah bagi menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah setiap tahun.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Ziarah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan di Kampung Bukit Berangan pada Jumaat.
Dalam program tersebut, seramai 106 penerima asnaf dari tiga kampung menerima sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 50 penerima adalah dari Kampung Bukit Berangan, diikuti 25 penerima dari Kampung Sungai Empit dan 31 penerima dari Kampung Sungai Pendam.
Selain sumbangan kepada individu, bantuan turut disalurkan kepada institusi keagamaan iaitu sebanyak RM2,000 kepada Masjid Darul Malihah dan RM1,500 kepada Surau Kampung Sungai Pendam bagi menyokong aktiviti keagamaan serta pengimarahan rumah ibadah sepanjang Ramadan.
Datuk Hamzah turut memaklumkan bahawa lebih 1,000 penerima asnaf dikenal pasti untuk menerima sumbangan yang akan diagihkan secara berperingkat di kampung-kampung sekitar kawasan DUN Stakan sepanjang program Ziarah Ramadan tersebut.-EDISI UKAS