Kejohanan Sukan SK Long Lellang Platform Bentuk Sahsiah, Disiplin Pelajar
BARIO: Kejohanan Sukan Balapan dan Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lellang bukan sekadar acara tahunan sekolah, malah menjadi platform penting dalam membentuk sahsiah, disiplin serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, berkata penglibatan aktif dalam aktiviti sukan mampu membentuk nilai positif dalam diri pelajar sejak di bangku sekolah.
Beliau berkata melalui aktiviti sukan, para pelajar dapat mempelajari nilai usaha, semangat kesukanan, ketabahan serta kepentingan bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Menang atau kalah adalah perkara biasa dalam pertandingan. Apa yang lebih penting ialah keberanian untuk mencuba, semangat untuk berusaha serta keazaman untuk terus memperbaiki diri,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SK Long Lellang di sini, pada Jumaat.
Ketibaan beliau bersama rombongan disambut oleh Guru Besar SK Long Lellang, Prisca Kula, barisan guru, ketua masyarakat serta penduduk setempat yang turut hadir memeriahkan acara tersebut.
Dalam pada itu, Gerawat turut mengingatkan para pelajar bahawa pendidikan merupakan asas utama dalam membina masa depan yang lebih cerah.
Beliau berkata Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak komited memastikan anak-anak negeri ini mendapat peluang pendidikan yang lebih baik, termasuk menyediakan pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
Menurutnya, inisiatif tersebut bertujuan memastikan anak-anak Sarawak, termasuk dari kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Long Lellang, mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti tanpa dibebani kos pengajian yang tinggi.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan kerana masa depan Sarawak terletak di tangan generasi muda hari ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menghormati guru dan ibu bapa serta terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa lebih ramai pelajar cemerlang daripada SK Long Lellang akan lahir pada masa hadapan sekali gus mengharumkan nama sekolah, masyarakat dan negeri Sarawak.
Majlis perasmian kejohanan tersebut turut diserikan dengan perbarisan rumah sukan serta pelbagai acara balapan dan padang yang melibatkan penyertaan aktif para pelajar sekolah berkenaan.- EDISI UKAS