Usaha Komuniti Tellian Ulu Pelihara Terendak Melanau Terus Disokong
MUKAH: Usaha komuniti Kampung Tellian Ulu dalam memelihara warisan seni anyaman tradisional masyarakat Melanau terus mendapat sokongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine telah menyerahkan T-shirt seragam kepada kumpulan kraftangan kampung tersebut semasa singgah di Balai JKKK Tellian Ulu pada Jumaat.
Difahamkan, kumpulan kraftangan yang diketuai oleh Johny Anthony itu aktif menganjurkan kelas kraftangan setiap hujung minggu di sekitar Mukah sebagai usaha menghidupkan semula seni anyaman tradisional dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut Royston, sumbangan kecil itu merupakan tanda sokongan beliau terhadap usaha komuniti yang terus komited memelihara warisan seni kraftangan tempatan.
“Sedikit buah tangan ini adalah sebagai tanda sokongan saya kepada kumpulan ini untuk terus aktif dalam aktiviti pemeliharaan kraftangan tempatan,” katanya.
Antara hasil utama yang dihasilkan kumpulan tersebut ialah Terendak Melanau, iaitu topi tradisional yang juga dikenali sebagai Tapou di kawasan Mukah, Oya, Balingian dan Dalat, manakala di kawasan Matu, Daro dan Rajang ia dikenali sebagai Seraong.
Terendak merupakan warisan seni anyaman masyarakat Melanau yang diperbuat daripada rotan serta dahan pokok rumbia.
Sehingga kini, terendak masih digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat Melanau dan terus mendapat permintaan, terutamanya menjelang Kaul Mukah yang dijangka berlangsung pada penghujung April dengan acara kemuncak pada awal Mei.
Menjelang perayaan tersebut, produk kraftangan seperti terendak dijangka menerima tempahan yang tinggi sekali gus memberi peluang kepada pengusaha tempatan menjana pendapatan serta memastikan warisan seni anyaman ini terus kekal terpelihara. -EDISI UKAS