Jerayawara Bubur Lambuk, SABERKAS Prihatin Semarakkan Ramadan di Kapit
KAPIT: Program Jerayawara Bubur Lambuk dan SABERKAS Prihatin 2026 oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Pelagus yang berlangsung di Bazaar Ramadan Town Square Kapit pada Jumaat berjaya menyemarakkan suasana Ramadan di samping mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat semasa berucap dalam majlis tersebut, penganjuran program seperti itu bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan dengan aktiviti kemasyarakatan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu, nilai saling menghormati, kebersamaan serta amalan berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan perlu terus dipupuk sebagai asas kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi menyatakan sokongan terhadap penganjuran program berteraskan kebajikan dan kemasyarakatan sedemikian.
Beliau menyifatkan ia mampu mendekatkan pemimpin dengan rakyat di samping menzahirkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan penyerahan bakul makanan kepada 21 ahli veteran dan 16 penduduk kurang berkemampuan dari Kampung Melayu Kapit.
Selain itu, dua individu turut menerima sumbangan melalui program SABERKAS Prihatin yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Residen Bahagian Kapit Elvis Didit, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Alvin Runggah serta Pengerusi SABERKAS Cawangan Pelagus, Kaunselor Mohamad Junaidi.-EDISI UKAS