Peningkatan Bantuan SKAS Beri Sinar Kelegaan, Penerima Hargai Keprihatinan Kerajaan Sarawak
KUCHING: Peningkatan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 membawa sinar kelegaan kepada ramai rakyat negeri ini, khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak itu bukan sahaja membantu menampung keperluan asas harian, malah memberi ruang kepada penerima membuat persediaan menghadapi musim perayaan serta keperluan keluarga.
Bagi Rohana Abdullah @ Clerine Migon, 57, penerima SKAS bagi kategori warga emas dan seorang ibu tunggal kepada tiga anak, peningkatan bantuan tersebut amat bermakna dalam membantu mengurus perbelanjaan harian keluarganya.
Menurutnya, sumbangan yang diterima membolehkannya membeli barangan asas seperti beras dan keperluan dapur.
“Saya sangat berbangga kerana Premier Sarawak sangat prihatin terhadap rakyat. Sebagai ibu tunggal, bantuan ini banyak membantu saya membeli keperluan harian seperti beras dan barang dapur,” katanya ketika ditemui UKAS pada Sabtu sambil menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan.
SKAS yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 2025 menyaksikan peningkatan kadar bantuan bagi semua kategori penerima pada tahun ini.
Bagi kategori isi rumah, kadar bantuan meningkat daripada RM800 kepada RM950, manakala kategori bujang meningkat daripada RM250 kepada RM300.
Sementara itu, bagi kategori warga emas tiada pasangan, kadar bantuan turut dinaikkan daripada RM400 kepada RM500.
Bantuan berkenaan akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat pada 10 Mac, 7 Julai dan 10 November tahun ini bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Seorang lagi penerima SKAS kategori isi rumah, Rafiq Ismail, 32, berkata bantuan tersebut turut membantu dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Walaupun jumlahnya tidak terlalu besar, sekurang-kurangnya ia membantu kami membeli beras dan barangan keperluan rumah. Terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana prihatin terhadap rakyat yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.
Sementara itu, penerima SKAS kategori bujang, Amil Reduan, 30, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan yang disalurkan kerajaan negeri.
Katanya, sumbangan tersebut membantu rakyat membuat persiapan menjelang musim perayaan di samping menampung pembelian keperluan asas.
“Syukur dengan adanya sumbangan ini yang dapat membantu meringankan beban rakyat. Terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat,” ujarnya.
Pelaksanaan SKAS 2026 dilihat terus memperkukuh komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat terbela, khususnya dalam membantu mereka menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.-EDISI UKAS