SEB Perkukuh Pelan Kontingensi, Pastikan Bekalan Elektrik Stabil Sepanjang Aidilfitri
KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) telah merangka pelan kontingensi yang komprehensif bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil serta sebarang gangguan dapat ditangani dengan segera sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, langkah tersebut selaras dengan persiapan yang dilaksanakan pada musim perayaan lain bagi menjamin keselesaan rakyat ketika menyambut Aidilfitri.
Menurut beliau, antara langkah utama yang dilaksanakan termasuk memastikan kakitangan teknikal serta kontraktor mencukupi dan bersiap siaga 24 jam bagi menangani sebarang gangguan bekalan elektrik dengan segera.
Selain itu, set jana kuasa mudah alih (genset) turut disediakan untuk ditempatkan di lokasi yang terjejas sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik bagi membolehkan bekalan sementara disalurkan kepada kawasan terlibat.
“Pemantauan penggunaan elektrik juga dilaksanakan secara berterusan di pencawang setempat sebelum musim perayaan bagi membolehkan penaiktarafan alat ubah (transformer) dilakukan sekiranya terdapat keperluan,” katanya semasa berucap dalam Program Ziarah Ramadan dan Tanggungjawab Sosial di Masjid An -Nur Kampung Tebelu, pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu, pelbagai kerja penyelenggaraan turut dilaksanakan termasuk pemotongan tumbuh-tumbuhan berhampiran talian elektrik, pemeriksaan talian menggunakan dron bagi mengesan sebarang keabnormalan serta penyelenggaraan bahagian atas tiang elektrik bagi membaiki kerosakan yang dikenal pasti.
Langkah tersebut katanya penting bagi memastikan keselamatan orang awam serta kebolehpercayaan bekalan elektrik sentiasa terjamin sepanjang musim perayaan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bakul makanan kepada 70 penerima yang memerlukan manakala 30 kanak-kanak turut menerima sampul duit raya.
Turut diadakan agihan bubur pedas kepada para hadirin sebagai simbolik perkongsian rezeki dan usaha mengimarahkan bulan Ramadan dalam kalangan masyarakat setempat.
Hadir sama, Pengarah Bekalan Elektrik, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) Randie Abdullah, Naib Presiden Kanan Kontrak dan Perolehan SEB Yusri Safri, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Daan dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan MUTS Raduan Bujet. -EDISI UKAS