SARATOK: Sebanyak 300 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai di Saratok pada Sabtu dalam memeriahkan sambutan Ramadan di situ.
Program anjuran SABERKAS Krian bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hulu Saratok itu diadakan sempena sambutan bulan Ramadan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut Pengerusi SABERKAS Krian, Sangin Amit, program tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan setiap kali menjelang Ramadan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat di kawasan ini di samping menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan yang mulia.
Beliau berkata, program seperti ini juga memberi peluang kepada ahli SABERKAS serta penduduk kampung untuk bergotong-royong menyediakan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada orang ramai.
Turut hadir serta mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Kehadiran beliau turut memeriahkan program dan memberi sokongan kepada usaha komuniti dalam menganjurkan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan.
Orang ramai yang hadir menyambut baik program tersebut dan berharap aktiviti seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sahaja membantu masyarakat, malah mengeratkan lagi hubungan antara penduduk setempat. - EDISI UKAS