MPKS Perhebat Kempen Vaksinasi dan Lesen Anjing, Kekang Penularan Rabies di Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mempergiat usaha membendung penularan penyakit rabies menerusi Program Walkabout Vaksinasi Antirabies, Pendaftaran Lesen Anjing dan Pendidikan Kesihatan Rabies yang diadakan di Taman Rekreasi Uni Central, pada Sabtu.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Samarahan itu turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan serta MPKS bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan pemilik anjing, mengenai kepentingan vaksinasi dan pelesenan haiwan peliharaan.
Antara pengisian utama program tersebut termasuk pemberian vaksin antirabies kepada anjing peliharaan, pendaftaran lesen anjing secara percuma serta sesi libat urus bersama pemilik anjing berkaitan langkah pencegahan penyakit rabies.
Pengerusi MPKS, Abang Ismawi Abang Ali berkata, kempen tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pemilik anjing lebih bertanggungjawab dalam melesenkan serta memvaksinkan haiwan peliharaan mereka.
Menurut beliau, inisiatif pendaftaran lesen anjing secara percuma diperkenalkan bagi tahun 2026 dengan tempoh sah selama tiga tahun sebagai galakan kepada masyarakat untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Program ini juga bertujuan memberi pendidikan kesihatan kepada masyarakat mengenai bahaya penyakit rabies serta langkah pencegahan yang perlu diambil, terutama dalam kalangan pemilik anjing.
“Kita turut memberi tumpuan kepada kawasan dalam lingkungan 10 kilometer daripada lokasi kes kematian akibat rabies yang dilaporkan baru-baru ini bagi memastikan tindakan pencegahan dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui media.
Tambah beliau, pemilik anjing yang gagal mematuhi peraturan pelesenan boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,500 mengikut undang-undang kecil yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik yang membiarkan anjing peliharaan berkeliaran di luar kawasan rumah kerana keadaan itu boleh meningkatkan risiko penularan penyakit rabies.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya pemilik anjing agar tampil mendapatkan vaksinasi serta mendaftarkan lesen anjing sepanjang tempoh kempen tersebut bagi membantu usaha kerajaan membanteras penyakit rabies di Sarawak. -EDISI UKAS