Program Jualan Istimewa Aidilfitri Bantu Rakyat Simunjan Dapatkan Barangan Keperluan Pada Harga Berpatutan
SIMUNJAN: Program Jualan Istimewa Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan dengan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, telah diadakan bagi membantu masyarakat setempat mendapatkan barangan keperluan menjelang Aidilfitri pada harga lebih berpatutan.
Program tersebut bermula dari 8 pagi hingga 1 tengah hari bertempat di Ayam Champion Simunjan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar.
Melalui program jualan khas itu, orang ramai berpeluang mendapatkan beberapa barangan keperluan asas pada harga istimewa termasuk ayam, ikan kembong, ikan sardin serta telur, sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian masyarakat khususnya dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Awla berkata program tersebut merupakan antara inisiatif yang diambil bagi memastikan rakyat di kawasan Simunjan dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih mudah dan berpatutan.
“Program jualan istimewa ini diadakan sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, sekali gus meringankan sedikit beban perbelanjaan mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui wartawan UKAS dalam program tersebut, pada Sabtu.
Beliau turut berharap agar program seumpama itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta memperkukuh semangat kebersamaan antara pemimpin dan rakyat di kawasan tersebut.
Menurutnya lagi, penganjuran program berbentuk kebajikan dan bantuan kepada rakyat akan terus diperkasa dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat di kawasan Simunjan sentiasa terpelihara. -EDISI UKAS