Yayasan TM, Badan Kebajikan TM Sarawak Salur Bantuan Kepada Asnaf Petra Jaya
KUCHING: Seramai 60 individu daripada golongan asnaf di sekitar Petra Jaya menerima sumbangan zakat dan pek makanan dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan yang berlangsung di Surau Darul Ikhlas, TM Sarawak Hub pada Sabtu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof sebagai simbol keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya menjelang bulan Ramadan.
Dalam majlis berkenaan, para penerima menerima kotak makanan yang disumbangkan oleh Yayasan TM serta bantuan zakat yang disalurkan melalui Badan Kebajikan TM Sarawak.
Selain penerima daripada kalangan asnaf Petrajaya, sumbangan turut disampaikan kepada Surau Al-Hamra’, Balai Bomba Petra Jaya serta Masjid Ikhwanul Islam.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di samping menyemai semangat kebersamaan serta keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Program berkenaan juga mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuh amalan kebajikan serta menyantuni komuniti setempat melalui penyaluran bantuan secara berterusan.-EDISI UKAS