Mesyuarat Teknikal MA63 Rekod Kemajuan, Akan Dibawa Ke MTPMA63
KUCHING: Beberapa perkara berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah mencapai persetujuan di peringkat Jawatankuasa Teknikal dan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) untuk pengesahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, mesyuarat jawatankuasa teknikal tersebut melibatkan wakil Kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri Sarawak dan Sabah bagi membincangkan perkembangan terkini pelaksanaan perkara-perkara di bawah MA63.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan turut meneliti perkara yang telah dipersetujui serta isu yang masih dalam perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, beberapa perkara telah dipersetujui termasuk penyelesaian isu berkaitan Lembaga Pelabuhan Bintulu serta beberapa perkara melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas, TM Sarawak Hub, Jalan Sultan Tengah, di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, beberapa perkara dari segi pentadbiran turut mencapai persetujuan termasuk aspek yang boleh diserahkan kuasa kepada Sarawak dan Sabah.
Bagaimanapun jelas beliau, perkara yang telah dipersetujui di peringkat teknikal itu perlu terlebih dahulu dibawa ke mesyuarat MTPMA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk pengesahan sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat.
Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Fadillah memaklumkan kerajaan sedang mengatur usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Timur Tengah susulan konflik yang berlaku di rantau berkenaan.
Menurut beliau, usaha tersebut melibatkan kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan bagi menyediakan penerbangan khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.
Pada masa sama, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Timur Tengah buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat.
“Kita menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak digalakkan pergi ke Timur Tengah buat masa ini. Walaupun ada kawasan ruang udara yang masih dibuka, keadaan semasa masih tidak menentu dan kita bimbang konflik ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan setakat ini dianggarkan hampir 3,000 rakyat Malaysia berada di kawasan terjejas sebagai pelancong, manakala lebih 20,000 lagi merupakan rakyat Malaysia yang bekerja serta menetap di negara berkenaan.-EDISI UKAS