Gotong-Royong Masak Bubur Asyura Semarakkan Ramadan di Simunjan
SIMUNJAN: Program memasak dan pengagihan bubur asyura yang berlangsung di perkarangan Masjid Darul Hijrah pada Sabtu menyemarakkan penghayatan Ramadan di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Darul Hijrah dengan kerjasama Persatuan Urusetia Saudara Baru Kita (PUSBK) Cawangan Simunjan itu menghimpunkan ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan serta penduduk yang bergotong-royong menyediakan bubur untuk diagihkan kepada komuniti.
Sebanyak 1,000 pek bubur asyura berjaya disediakan sebelum diagihkan kepada penduduk dari 14 kampung di kawasan Simunjan Proper selain lima masjid di Zon 3 Sungai Apin serta komuniti saudara baharu di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris yang hadir memeriahkan program tersebut menyifatkan penganjuran aktiviti seumpama itu sebagai inisiatif baik dalam menghidupkan suasana Ramadan serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Turut hadir Pengerusi Masjid Darul Hijrah Azman Mut, Penghulu Ahmad Dol Simpol, Penghulu Abang Madehie Abang Junaidi serta ketua-ketua kampung setempat. –EDISI UKAS