SKAS 2026 Bukti Keprihatinan Kerajaan Sarawak Bantu Rakyat
SARIKEI: Inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 terus membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, program tersebut masih mengekalkan tiga kategori penerima seperti tahun sebelumnya bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Untuk 2026, kategori isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima bantuan sebanyak RM950 setahun.
"Bagi kategori warga emas tanpa pasangan pula akan menerima RM500 setahun.
“Manakala kategori bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima bantuan sebanyak RM300 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok, anjuran bersama Pejabat Residen Bahagian, Pejabat Daerah Sarikei dan Pusat Khidmat ADUN N.45 Repok, di sini pada Sabtu.
Menjelas lanjut, Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok memberitahu, bantuan kewangan berbentuk baucar digital itu akan disalurkan secara berperingkat menerusi tiga fasa iaitu pada Mac, Mei dan November tahun ini.
Sehubungan itu tegasnya, individu yang layak digalakkan membuat semakan serta menuntut bantuan tersebut mulai 7 Mac, agar tidak terlepas daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan Sarawak.
"Bagi kategori isi rumah, penerima akan menerima sebanyak RM316 pada fasa pertama dan kedua, manakala RM318 pada fasa ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan RM950.
"Bagi kategori warga emas pula, penerima akan menerima RM166 pada fasa pertama dan kedua serta RM168 pada fasa ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan RM500.
"Sementara itu, kategori bujang akan menerima RM100 bagi setiap fasa dengan jumlah keseluruhan RM300,"tambahnya lagi.-EDISI UKAS