Penduduk Balingian Luah Rasa Syukur Terima SKAS 2026
BALINGIAN: Rata-rata penduduk di Daerah Balingian menyatakan rasa syukur dan gembira dengqn inisiatif Kerajaan Sarawak menyalurkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) kepada golongan yang layak, sekali gus meringankan beban mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Mereka menyifatkan bantuan tersebut sebagai langkah prihatin kerajaan negeri dalam membantu rakyat, khususnya dalam menampung perbelanjaan harian serta keperluan asas keluarga.
Salah seorang penerima, Chan Sie Ying, 35, berkata, beliau amat berterima kasih atas bantuan yang diterima, yang turut menyokong pembelian barangan keperluan asas termasuk barangan bayi.
“Saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana memberi sumbangan SKAS kepada kami.
“Saya amat menghargai inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran SKAS 2026 Peringkat DUN Balingian di Dewan Masyarakat Balingian, pada Sabtu.
Seorang lagi penerima, Reyes Abun, 21, melahirkan rasa gembira kerana terpilih sebagai penerima SKAS bagi kategori bujang.
“Saya berasa gembira kerana dapat menjadi salah seorang penerima SKAS bagi kategori bujang. Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu rakyat.
“Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas bantuan yang diberikan,” ujarnya.
Bagi Nurulamizan Madeli, 32, sumbangan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Saya berasa gembira kerana menerima SKAS. Terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier atas bantuan ini.
“Saya berharap bantuan ini dapat diteruskan dan ditambah pada masa hadapan kerana ia sangat membantu rakyat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Siedek Pelira, 55, yang bekerja secara sambilan, turut menzahirkan rasa syukur kerana bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban perbelanjaan hariannya.
“Alhamdulillah, saya berasa bangga dan bersyukur kerana menerima SKAS. Bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya sebagai pekerja sambilan,” ujarnya.-EDISI UKAS