SEDC Sumbang Zakat Perniagaan Berjumlah RM880,000 Kepada TBS
KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bersama anak syarikatnya, SEDC Quarries Sdn Bhd, menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM880,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dalam satu majlis berbuka puasa yang berlangsung di Hotel Grand Margherita, di sini, pada Sabtu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menyaksikan penyerahan zakat perniagaan itu yang disampaikan oleh Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain kepada Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu golongan yang memerlukan serta memastikan keberkatan Ramadan dirasai oleh masyarakat secara lebih meluas.
Dalam majlis sama, SEDC Resources Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bagi Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) sebagai sokongan terhadap usaha persatuan dalam menjaga dan memperkasa kanak-kanak berkeperluan khas.
Selain itu, SEDC turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar Madrasah Tahfiz Sulaimanniyyah Ar Ruqiyyah sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh pendidikan agama serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Selepas penyerahan, majlis kemudian diteruskan dengan acara berbuka puasa, solat Maghrib dan makan malam, sebelum diakhiri dengan solat Isyak, solat Tarawih serta moreh.
Turut hadir semasa majlis ini ialah anakanda Premier Sarawak Dayang Norjihan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, ahli lembaga pengarah, pihak pengurusan SEDC dan wakil daripada anak-anak syarikat SEDC.-EDISI UKAS