Jerayawara Bubur Lambuk Semai Nilai Kasih Sayang, Perpaduan
BELAGA: Program Jerayawara Bubur Lambuk bukan sahaja memberi peluang untuk berkongsi rezeki bersama masyarakat, malah turut menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Belaga.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Datuk Liwan Lagang berkata, program pengagihan bubur lambuk pada bulan Ramadan mempunyai nilai yang sangat istimewa kerana ia melambangkan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki dengan golongan lain.
“Selain itu, program seperti ini dapat mendekatkan pemimpin dengan masyarakat serta memperkukuhkan hubungan antara komuniti,” katanya semasa menyempurnakan Majlis Jerayawara Bubur Lambuk anjuran SABERKAS Cawangan Belaga dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Belaga pada Sabtu.
Tambahnya, Jerayawara Bubur Lambuk ini sememangnya telah menjadi tradisi tahunan anjuran SABERKAS di Pondok Bulat, Belaga Waterfront, dan usaha ini wajar diteruskan kerana ia memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada SABERKAS Cawangan Belaga serta KRT Pekan Belaga atas usaha menganjurkan program yang penuh bermakna ini.
Sementara itu, Pengerusi SABERKAS Cawangan Belaga, Justine Ase berkata bahawa program Jerayawara Bubur Lambuk merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan pada setiap bulan Ramadan.
Menurut beliau lagi, penglibatan golongan belia dalam program ini turut memupuk semangat kesukarelawan serta memberi peluang kepada mereka untuk belajar mengenai kepimpinan, pengurusan program dan kerja berpasukan.
Inisiatif seperti ini katanya juga membantu membentuk jati diri belia agar lebih aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 300 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai tanpa mengira kaum, keturunan mahupun anutan agama.
Penganjuran program ini diharap dapat terus memperkukuhkan perpaduan masyarakat serta menyemarakkan semangat berkongsi rezeki dan kebersamaan dalam bulan penuh keberkatan ini. - EDISI UKAS