Royston Meriahkan Program Agihan Bubur Lambuk, Bubur Kacang Di Mukah
MUKAH: Selesai menghadiri program agihan bubur pedas di Masjid Setia Raja Mukah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine meneruskan penglibatan beliau dalam aktiviti kemasyarakatan sempena Ramadan dengan memenuhi jemputan komuniti setempat.
Pada petang Sabtu, beliau hadir ke Kampung Sungai Pegei, Mukah bagi menyertai Program Agihan Bubur Lambuk anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pegei, serta Jabatan Perpaduan Bahagian Mukah.
Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk telah disediakan untuk diagihkan kepada orang ramai dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Seterusnya pada jam 4.00 petang, beliau menghadiri Program Agihan Bubur Kacang di Rumah KRT Kampung Seri Petanak yang dianjurkan bersama KRT Petanak Seri dan Jabatan Perpaduan Bahagian Mukah.
Dalam program tersebut, sebanyak 200 bungkus bubur kacang telah diagihkan kepada penduduk kampung sekitar sebagai tanda kebersamaan dan semangat muhibah sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Royston, program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Tahniah atas pelaksanaan program pengimarahan bulan Ramadan tahun ini di bawah seliaan Jabatan Perpaduan Bahagian Mukah yang dilaksanakan serentak di seluruh Sarawak pada hari ini,” ujar beliau.
Turut hadir ialah Pegawai Perpaduan Bahagian Mukah, Siti Nurfatimah Hussen, Ketua Kampung Pegei, KK Razali Junis, KK Assie Aneh serta Jawatankuasa KRT Petanak Seri dan seluruh jawatankuasa pelaksana program. - EDISI UKAS