KUCHING: Pertembungan 'Borneo Derby' sekali lagi menjadi milik Kuching City FC (KCFC) selepas menumbangkan Sabah FC 2-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu.
Kemenangan ini menyaksikan KCFC kini mengumpul 37 mata untuk terus membuka peluang merebut slot tempat kedua dalam kedudukan liga.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak tidak menunggu lama untuk menggembirakan hampir 4,000 penyokong setia apabila Joao Pedro meledak gol pertama seawal minit kelima permainan.
Pemain sayap kelahiran Timor Leste itu tenang merembat kencang bola umpanan Ronald Ngah Wanja untuk meletakkan KCFC di hadapan.
Jaringan pembukaan itu meningkatkan semangat pemain KCFC dengan melancar serangan bertali arus ke gawang pelawat untuk mencari gol tambahan.
Minit ke-26, giliran perancang lincah KCFC, Petrus Shitembe menambah derita skuad Badak dengan melakukan ‘placing’ di sudut kiri gawang Sabah FC selepas memanfaatkan situasi kucar kacir dalam kotak penalti, untuk meletakkan pasukannya selesa di hadapan dengan 2-0.
Serangan bertali arus tidak berhenti untuk pasukan The Cats apabila Moses Atede menerima umpanan rakan sepasukan dan terus menendang dari luar kotak penalti namun tidak menemui belakang gawang.
Sabah FC yang terpaksa bermain defensif hanya mampu melakukan serangan balas sahaja sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan.
Skuad kendalian Juan Torres terus mengatur corak permainan dan aksi kedua terus bermula garang dengan aksi yang lebih menyerang.
Mereka hampir menemui gawang gol apabila kesilapan Moses Atede hampir dimanfaatkan oleh Sabah FC namun Ronald ‘Bonai’ Calvin berjaya menjadi benteng terakhir setelah Haziq Nadzli ditewaskan.
Pertukaran beberapa pemain menghidupkan semula jentera serangan KCFC untuk kembali menguasai perlawanan namun benteng pertahanan Sabah FC terus kekal bertahan menidakkan jaringan tambahan tuan rumah.
Keputusan itu kekal hingga tamat masa perlawanan memastikan KCFC sekali lagi mengutip tiga mata penuh.-EDISI UKAS