Lan Berambeh Sungkei Belia Asajaya Semarak Ramadan, Kukuh Semangat Kebersamaan
ASAJAYA: Program Lan Berambeh Sungkei Belia Asajaya 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Asajaya pada Sabtu berjaya menghimpunkan masyarakat setempat khususnya golongan belia dalam suasana penuh kemesraan sempena bulan Ramadan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat.
Menurut beliau, program berkenaan turut menggabungkan beberapa aktiviti kebajikan termasuk penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf serta pengagihan bubur lambuk kepada penduduk setempat.
“Setiap kali tibanya Ramadan, kita akan mengadakan program kebajikan seperti penyampaian sumbangan kepada asnaf serta pengagihan bubur lambuk yang dianjurkan oleh pelbagai agensi termasuk pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan.
“Hari ini kita menghimpunkan semua inisiatif tersebut dalam satu program bagi memeriahkan lagi sambutan Ramadan selain membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Dato Sri Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan walaupun ia merupakan penganjuran kali pertama diadakan secara besar-besaran di Kompleks Sukan Asajaya.
Beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan terutamanya daripada golongan belia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru ketua masyarakat dan ketua kaum di setiap kampung agar terus memainkan peranan mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan supaya mereka tidak terpinggir terutama ketika musim perayaan.
“Setiap kampung pasti ada golongan asnaf atau mereka yang kurang bernasib baik. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan mereka tidak diketepikan, sebaliknya dibantu agar dapat sama-sama merasai kegembiraan menyambut Ramadan dan Syawal,” ujarnya.-EDISI UKAS