14,818 Penduduk Asajaya Terima Manfaat Bantuan SKAS
ASAJAYA: Seramai 14,818 penduduk di daerah Asajaya dikenal pasti layak menerima bantuan di bawah inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tahun ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bantuan tersebut merupakan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah terus terpelihara.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan penerima di kawasan Asajaya, seramai 7,532 penerima dalam kategori isi rumah menerima bantuan sebanyak RM950 seorang.
“Selain itu, seramai 1,883 penerima dalam kategori warga emas menerima bantuan RM500 seorang, manakala 5,403 penerima dalam kategori bujang menerima RM300 seorang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Agihan Bubur Lambuk PEMADAM Care For You dan Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS Cawangan Asajaya 2026 serta Program Lan Berambeh Sungkei Belia @ Asajaya 2026 yang diadakan di Kompleks Sukan Asajaya, pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan bahawa bantuan SKAS bagi tahun ini akan disalurkan secara berperingkat melalui tiga fasa pembayaran.
“Pembayaran pertama dijadualkan pada 10 Mac, diikuti 7 Julai dan seterusnya pada 10 November,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM640 juta bagi pelaksanaan SKAS tahun ini.
Dalam perkembangan sama, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut menyempurnakan simbolik pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Sebanyak 1,000 bubur lambuk yang disediakan oleh PEMADAM Negeri Sarawak serta 500 bubur lambuk sumbangan SABERKAS Cawangan Asajaya diagihkan kepada penduduk setempat.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 300 penerima asnaf dari kawasan Asajaya sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.
Daripada jumlah tersebut, 250 penerima dikenal pasti oleh Pejabat Daerah Asajaya, manakala 50 lagi penerima masing-masing disenaraikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan dan Baitulmal Samarahan.
Program berkenaan turut menyaksikan Dato Sri Abdul Karim meluangkan masa berbuka puasa bersama penduduk setempat dalam suasana penuh kemesraan, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Sri Zuriani Abdul Jabbar, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dzulkornain Masron, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Georgina Apphia Ngau, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Abang Ismawi Abang Ali, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Bahagian Samarahan Ahmad Raslan Yaiyah serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang.-EDISI UKAS