Aidil Sharin Puji Disiplin & Pelaksanaan Taktikal Pasukan
KUCHING: Ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak memuji disiplin serta pelaksanaan taktikal pemain Kuching City FC (KCFC) selepas berjaya menewaskan Sabah FC 2-0 dalam aksi Liga Super 2025/2026 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Menurut beliau dalam sidang media selepas perlawanan, pasukannya layak meraih tiga mata hasil persembahan cemerlang pemain yang berjaya mengikut pelan permainan yang telah dirancang.
Aidil menjelaskan bahawa pasukannya mensasarkan gol awal pada separuh masa pertama dengan memberikan tekanan kepada Sabah yang baru sahaja beraksi beberapa hari lalu di Perak.
"Saya fikir para pemain bukan sahaja bermain baik pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua kami dapat mengawal permainan dan menghiburkan penyokong.
"Cuma ada beberapa perkara yang boleh kami perbaiki, iaitu menukar peluang yang terhidang kepada gol," katanya.
Aidil turut menyentuh cabaran yang dihadapi pemain sepanjang bulan Ramadan, terutamanya berkaitan pengurusan tenaga pemain yang berpuasa.
Menurutnya, beliau membuat sedikit penyesuaian taktikal dengan tidak menurunkan terlalu ramai pemain Muslim yang berpuasa dalam satu masa bagi memastikan tahap tenaga pasukan kekal optimum sepanjang perlawanan.
Tambahnya, pertembungan terakhir dalam bulan Ramadan menentang Penang FC nanti pastinya tidak mudah terutamanya pasukan tersebut kalah di sini dan mahu membuktikan sesuatu.
"Jadi kami perlu menetapkan semula fokus. Harapnya tiada kecederaan selepas malam ini dan kami akan pergi ke sana dengan mentaliti untuk menang," ujarnya. -EDISI UKAS