Kerjasama Strategik Kunci Memajukan Pertanian dan Tanaman Padi Sarawak
KAPIT: Kerjasama semua pihak amat penting bagi memacu pertumbuhan sektor pertanian, termasuk pembangunan tanaman padi, supaya memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat dan membuka peluang ekonomi baharu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, pembangunan industri makanan dan komoditi merupakan pemangkin ekonomi negeri serta penyumbang utama kepada keselamatan makanan Sarawak.
“Kerjasama antara agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti tempatan dilihat sebagai kunci untuk memajukan sektor ini secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam dan Berbuka Puasa anjuran Jabatan Pertanian Sarawak di sini, pada Sabtu.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Datuk Jefferson Jamit Unyat, ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Setiausaha Tetap M-FICORD Datu Sirai Saha, Residen Bahagian Kapit Elvis Didit serta Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat.-EDISI UKAS