250 Bekas Bubur Pedas Dikongsi Bersama Penduduk Kampung Kuala Lama
MUKAH: Sebanyak 250 bekas bubur pedas telah diagihkan kepada penduduk Kampung Kuala Lama dalam satu program komuniti yang berlangsung di kampung tersebut pada Sabtu.
Program berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk yang hadir.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kuala Lama, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kuala Lama serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Mukah sebagai usaha memperkukuh hubungan komuniti setempat.
Menurut pihak penganjur, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan berkongsi juadah tradisional bersama masyarakat, malah menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.
Selain itu, aktiviti seumpama ini turut memberi peluang kepada komuniti setempat untuk berkumpul dan berinteraksi secara lebih dekat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana harmoni.
Penganjur turut berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan semangat kebersamaan serta keharmonian masyarakat pelbagai latar belakang terus dipelihara.-EDISI UKAS