Agihan 600 Pek Bubur Ramadan Semarakkan Semangat Kejiranan Di Samariang
KUCHING: Program Pengagihan Bubur Ramadan yang diadakan di Dataran Harmoni, Bandar Baru Samariang pada Sabtu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan semangat kejiranan dalam kalangan komuniti setempat.
Program tersebut menyaksikan sebanyak 600 pek bubur berjaya disediakan dan diagihkan kepada penduduk sekitar serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hadir menyempurnakan program berkenaan selain turut meluangkan masa menyantuni masyarakat serta mengagihkan bubur kepada orang ramai.
Program berkenaan dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Ria Fasa 3/4 dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Ria, Kejiranan Mesra (KJM) Taman Ria serta Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN).
Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Penghulu Bandar Baru Samariang Osen Bujang serta beberapa pemimpin komuniti setempat.
Pengisian program dimulakan dengan aktiviti gotong-royong memasak yang melibatkan penyertaan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat sejak awal pagi.
Sebanyak tiga jenis bubur iaitu bubur lambuk, bubur pedas dan bubur kacang telah disediakan sebelum diagihkan kepada masyarakat sebagai juadah berbuka puasa.
Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menjadi medium berkongsi rezeki sepanjang Ramadan, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan komuniti setempat.
Selain itu, inisiatif tersebut turut mencerminkan semangat keprihatinan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat dalam memupuk budaya saling membantu dan kebersamaan.
Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menyemarakkan lagi semangat Ramadan di samping memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam komuniti.-EDISI UKAS