Program Kongsi Rezeki Semarakkan Ramadan Di Kampung Bintawa Tengah
KUCHING: Program Kongsi Rezeki yang diadakan di Surau Darul Ehsan, Kampung Bintawa Tengah pada Sabtu menjadi platform memperkukuh silaturahim serta menyemai semangat berkongsi dalam kalangan masyarakat setempat sempena bulan Ramadan.
Program tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bintawa Tengah dengan kerjasama PBB Ranting Bintawa Tengah, Saberkas Bintawa Tengah serta Pantai Damai Bin Laden.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi hadir memeriahkan program berkenaan selain turut menyantuni masyarakat setempat.
Beliau berkata program seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah memupuk semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti kampung.
Menurut beliau, bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat digalakkan untuk umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan kerana Ramadan merupakan bulan yang mulia untuk memperbanyakkan amal jariah dan membantu golongan memerlukan.
Beliau turut memuji usaha jawatankuasa kampung yang mengambil inisiatif mengajak masyarakat termasuk mereka yang telah berjaya dalam pelbagai bidang untuk kembali menyumbang kepada komuniti melalui sumbangan dan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk jawatankuasa kampung, pertubuhan setempat serta pihak syarikat yang turut menyumbang kepada penduduk kampung.
Tambah beliau, usaha seperti ini bukan sahaja memeriahkan sambutan Ramadan di peringkat kampung malah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Beliau berharap budaya berkongsi rezeki serta semangat gotong-royong dalam kalangan masyarakat akan terus diperkasakan demi kesejahteraan dan kemakmuran komuniti pada masa akan datang.-EDISI UKAS