Kerajaan Sarawak Ambil Alih Jalan Balak Nanga Dap-Jagau, Tingkat Perhubungan Luar Bandar
KANOWIT: Kerajaan Sarawak akan mengambil alih jalan balak Jalan Nanga Dap-Nanga Jagau bagi memudahkan perhubungan penduduk di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pengurusan projek utama di kawasan tersebut untuk memastikan ketersambungan yang lebih baik buat rakyat.
"Jalan balak (Jalan Nanga Dap / Nanga Jagau) akan diambil alih oleh kerajaan Sarawak bagi memudahkan perhubungan di kawasan luar bandar," katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah (Rh.) Fergerson Paul, Jih, di sini pada Sabtu.
Menurut Anyi, projek Jalan Nanga Ngungun-Nanga Bat-Nanga Jagau juga kini sedang rancak dalam pembinaan, manakala perkhidmatan Feri Sedaya telah pun beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa satu Bengkel Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) akan diadakan pada 12 Mac 2026 di Pejabat Daerah Kanowit bagi melancarkan lagi pelaksanaan projek-projek berkenaan di kawasan tersebut.
Beliau turut menyeru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang berminat memohon projek RTP, geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) agar berhubung terus dengan pegawai di Pusat Khidmat N.49 Ngemah.
Pada majlis yang sama, Anyi mengumumkan kelulusan projek RTP DUN Ngemah berjumlah RM100,000 untuk menukar atap Rumah Fergerson Paul yang akan diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu.
Beliau juga meluluskan geran MRP berjumlah RM5,000 kepada JKKK Rumah Fergerson Paul dan RM3,000 kepada Biro Wanita rumah panjang berkenaan untuk pelaksanaan aktiviti tahunan mereka.
Menyentuh mengenai pendidikan, Anyi turut berkongsi mengenai bantuan insentif akademik DUN Ngemah yang diberikan secara one-off kepada pelajar cemerlang iaitu RM300 untuk SPM (3A ke atas), RM500 bagi Diploma, dan RM1,000 untuk Ijazah Sarjana Muda.
Hadir sama ialah Pegawai UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang, wakil IPD Kanowit Sarjan Bidat, Pemanca Charlie Salang, Penghulu Kong Chak Fui, serta Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Ngemah Ramba Resang. -EDISI UKAS