36 Bakul Makanan Diserahkan Kepada Anak Yatim, Asnaf Di Kampung Supa
SARIBAS: Sebanyak 36 bakul makanan telah diserahkan kepada golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim dan asnaf di Kampung Supa menerusi program kebajikan anjuran SABERKAS Cawangan Saribas yang berlangsung di Masjid Usuwah Hassanah Kampung Supa, petang tadi.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Datuk Mohammad Razi Sitam, sebagai sebahagian daripada inisiatif SABERKAS Prihatin bagi membantu golongan yang memerlukan.
Selain penyerahan bakul makanan, program tersebut turut diisi dengan agihan sebanyak 250 pek bubur lambuk kepada penduduk Kampung Supa bagi memeriahkan suasana Ramadan serta berkongsi rezeki bersama komuniti setempat.
Dalam pada itu, Datuk Razi turut menasihati masyarakat agar sentiasa meningkatkan amalan serta ibadah sepanjang bulan Ramadan selain menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.
Dalam masa yang sama, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jawatankuasa Unit Kawasan Kampung, SABERKAS serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. -EDISI UKAS